Isnin, 19 November 2018

Umrah kali kedua 2018/1440

Alhamdulillah pada 5 November 2018 bersamaan 27 Safar 1440 saya, isteri dan puteri bongsu Nur Aqilah berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah  dengan singgah di Madinah sebelum berangkat ke Mekah pada 8 November. Syukur Alhamdulillah penerbangan SaudiAir selamat mendarat di Madinah setelah singgah di Ryaid selama sejam walaupun tertanggu sehingga dua jam di Lapangan Terbang KLIA keana cuaca buruk.

Jemaah dari agensi Al Qud seramai 48 orang telah menginap di Hotel Concord, Madinah. Manakala di Mekah kami menginap di Hotel Anjum. Semua hotel-hotel ini begitu hampir dengan perkarangan Masjid Nabawi dan Masjil Haram.

Kali jemaah kebanyakkan dari Pahang, Kelantan dan sedikit Sabah, Selangor. Mutawif kami ialah ustaz Mohd Rizal Abd Majid dari Al Qud Pahang.

Umrah kedua ini sama seperti umrah sebelum ini cuma saya menikmati suhu Madinah dan Mekah lebih dingin, malah saya dapat menikmati sedikit hujan ketika berada di Mekah.

Catatan 1:

Kisah di Tanah Suci berbagai. Hari ini saya didatangi oleh dua gadis Indonesia meminta bantuan ada seorang wanita wargamas sesat sejak jam 9 pagi di Masjid Nabawi. Oleh kerana hampir waktu Zohor saya kata kita solat dulu selepas itu saya berjanji nak membantu kakak yang sesat itu. Cuba bayangkan jika pertama kali ke Tanah Suci wanita itu sudah tentu panik. Selesai solat saya berjalan ke tempat yang dijanjikan di pintu 15. Sebelum itu saya telah terserempak seorang wanita dari agensi yang sama tapi lain kumpulan. Wanita itu akui memang mereka kehilangan seorang jemaah. Kuasa Allah kami dipanggil oleh sekumpulan wanita yang telah menemui wanita wargamas itu.

Di sini ingin saya berpesan, jika ke Tanah.Suci pastikan tag nama dipakai kerana segala maklumat ada di situ. Kedua, jika kita pernah ke sini usahalah menjadi sukarelawan kepada Mutawif.
Masalah bantuan usah kuatir kerana jika kita dari Malaysia jemaah dari Indonesia boleh membantu kerana mereka boleh berbahasa Melayu.

















Catatan 2:


Kerja membersih sekitar Masjid Nabawi bukan mudah. Mereka bertugas mengikut shif. Kata Zulkarnain yang sudah dua tahun bertugas membersih masjid dia puas kerana kerjanya berhampiran Rasulullah S.A.W walaupun gajinya cuma 700 Rial sebulan. Tapi kawasan makam Rasullullah dibuat oleh petugas lebih veteran.
Nasihat oleh jemaah yang sering ke sini jika nak bersedekah maka kepada mereka adalah lebih selamat. Seandainya mereka memberi salam makan kita kena faham itu adalah isyarat memohon ikhsan daripada mereka.

Catatan 3:

Bukit Uhud adalah lambang perjuangan Rasullulah S.A.W dan para sahabat yang hebat. Di sinilah seramai 70 orang sahabat terkorban sahid. Perkuburan syuhadah adalah lokasi yang masih jelas boleh dilihat kat sini.
Oleh itu kita yang meneruskan dakwah Islam mesti mantap kerana pengorbanan kita tidak sehebat mana jika dibandingkan para sahabat.
Marilah kita mempertahan Islam dan Rasul kita. Walaupun jika kita belum mampu ke sini tetap sejarah peperangan Uhud harus menjadi kayu ukur keimanan kita.
Sejarah para sahabat melindungi Rasullullah dari dibunuh adalah kehebat terhebat sehingga ada yang diseksa jasad mereka. Namun percayalah kini mereka sedang berhagia di alam sana.











Catatan 4:

Dari sudut mana di dunia ini umat Islam akan bersolat mengadap Kaabah. Umat Islam BUKAN menyembah Kaabah! Jika berada di Masjidilharam umat Islam bebas berada di sudut mana untuk bersolat. Namun jika kita di Malaysia agak bertuah kerana sudut di Kaabah yang mengadap ke kita adalah Sudut Hajar Aswad yang menjadi titik permulaan Tawaf dan titik mengira pusingan Tawaf. Manakala di sini jugalah arah mengadap ketika bersolat dua rakaat sunat Tawaf. Oleh itu kenapa kita abaikan solat? Solat adalah ibadah yang pertama akan dinilai oleh Allah. Segala kebaikan lain akan jadi sia-sia jika solat kita abaikan. Janji Allah pasti benar!



Catatan 5:

Dalam apa jua yang kita lakukan pasti akan melibatkan keluarga dan sahabat. Menegur dan mengajak ke arah kebaikan pasti akan diberi ganjaran oleh Allah. Dalam mengejar ganjaran pahala dengan tidak memikirkan orang lain itu adalah satu sikap kurang baik. Sebab itu lakukanlah secara berjemaah biar pun terpaksa memaksa yang penting tidak mengabaikan keluarga dan sahabat. Binalah keluarga yang mencintai Allah dan bersahabatlah selagi tidak membawa ke arah keburukan.



Catatan 6:

Ketika berada di Kota Suci Madinah dan Mekah, pengalaman tersalah jalan keluar, terpisah dari suami atau rakan adalah lumrah. Jemaah dalam angka ribuan atau jutaan pasti memberi kesan pada hal ini. Justeru bagi rakan-rakan yang merancang ke sana saya mencadangkan agar membuat pengecaman pada beberapa tanda penting.
Misalnya jika masuk dari arah sudut Hajar Aswad maka keluarlah ikut arah itu. Cuba cari pintu masuk katakan pada nombor 72. Namun ada waktunya pintu 72 ditutup kerana untuk jalan masuk sahaja. Faktor telah pergi beberapa kali mungkin boleh membantu, namun ada sesetengah tanda telah tiada setelah beberapa tahun kita tak pergi.
Masjidilharam memanģ besar namun tanda kat luar masjid seperti hotel dan menara jam amat membantu. Bagi saya mengeluarkan sedikit kos untuk membeli Sim kad atau menggunakan Rooming adalah langkah persediaan yang bagus.
Paling mustahak berdoa dan bersalaman dan memohon maaf dengan pasangan ketika berpisah ketika mencari ruang solat adalah bijak. Kita tidak pasti adakah perpisahan itu adalah sementara atau sebaliknya.
Ketika di Masjid Nabawi agak mudah kerana arah Qiblat seperti lain-lain masjid. Itu pun saya pernah bertemu dan membantu seorang kakak yang sesat sejak selama 3 jam. Bagi saya jika pernah sampai ke sana apa salahnya menjadi sukarelawan atau pembantu Mutawif
Masalahnya jika yang nak dibantu tu tak tahu bahasa kita pastinya jadi itik bercakap dengan ayam.




Catatan 7:

Bagi yang pernah sampai ke Tanah Suci untuk melakukan Haji atau Umrah pintu masuk ke Makam Nabi Muhamad S.A.W pasti akan menjadi ingatan sepanjang hayat. Walaupun masuk Raudah dan melintasi Makam Nabi, Makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Omar bukan rukun haji dan umrah namun kesungguhan untuk memasuki tempat ini adalah lambang kecintaan umatnya kepada Baginda.
Menunggu 30 minit atau satu jam bukan menjadi masalah untuk sampai giliran tapi peluang masuk ke Taman Syurga (Raudah) dan melambai tangan kepada Rasullullah dan sahabat tetap disungguhi.
Perkuburan Syuhadah adalah tempat yang menjadi kunjungan jemaah ketika ke Bukit Uhud. Lambang kecintaan kepada Rasullullah adalah gugurnya para sahabat sebagai Syahid.
Kita di mana? Menunaikan semua ibadah, melaksanakan hukum Allah, adalah tanggungjawab kita dalam mencerminkan cinta kepada Allah dan Rasul!
Jika hari ini kita gembira menyambut Maulidur Rasul tanam azam untuk berubah ke arah kebaikkan. Jangan tinggal solat dan segala amalan yang lain. Jaga tingkah laku. Elak membuat fitnah. Menjaga aurat agar ketika bertemu Rasullullah kita tak menjadi insan yang hina.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul. Beruntung jika anda sedang melintasi Makam Nabi ketika ini........

                                             




Catatan saya belum tamat. ada beberapa siri lagi akan saya sambung selepas ini.






Isnin, 29 Oktober 2018

Umrah pada 5 hingga 15 November 2018

Assalamualaikum sahabat-sahabatku yang dikasihi. Izinkan saya memohon ampun maaf diatas keterlanjuran berbicara, berbahasa selama ini. Kita sering bergurau dan makan bersama. Halalkan rezeki yang telah menjadi daging dan darahku. Halalkan kata nasihat yang telah diberikan. Jika saya dan keluarga ( Acik Mah & Qila Ra'ai ) ada berhutang dan memberi hutang sila hubungi kami kerana masih ada ruang waktu selagi usia dipanjangkan oleh Allah. Semoga Allah menemukan kita di syurga-Nya. Doakan keselamatan perjalanan musafir saya dan keluarga ke Tanah Suci Madinah dan Mekah untuk bertemu Rasullullah dan menunaikan Umrah pada 5hb hingga 15hb November 2018. Semoga Umrah saya diterima oleh Allah dan mampu menjana kekuatan Islam serta keimanan saya dan semua umat Islam.
Selamat tinggal sahabat!
Tiada tempat lain yang kita rindui selain dua Kota Suci ini.

Selasa, 4 April 2017

Ziarah tempat bersejarah

Ketika berada di Madinah dan Mekah kami sempat dibawa beberapa tempat sejarah yang ada kaitan dengan Rasullullah untuk menyebarkan ajaran Islam.

Tempat-tempat tersebut ialah Perkuburan Baqik yang terletak di sebelah kanan Masjid Nabawi. Bukit Uhud dimana berlakunya Peperangan Uhud bagi menentang tentera khurais yang hendak menyerang Madinah.

Antara tempat lain ialah Masjid Qiblatain, Universiti Madinah, kilang mencetak Quran.




Rabu, 1 Mac 2017

Telah sebulan berlalu, rindunya pada Baitullah

Telah sepuluh bulan berlalu, rindunya pada Baitullah. Itulah yang dapat saya rungkaikan pada hari ini. Esok, 29 Jun 2016 telah sebulan  berada di Kota Madinah. Terasa rindu dengan suasana di Kota Madinah dan Mekah sukar saya gambarkan. Kadang-kadang bila kami ada masa saya dan keluarga menceritakan kembali suasana di sana. Biarpun catatan ini belum tiba pada penghujungnya namun kerana rindu itu membuatkan saya menitipkan cacatan pada tajuk ini lebih awal.

Tanyalah kepada sesiapa yang pernah ke sana samada mengerjakan Haji atau Umrah perkataan rindu ini pasti akan dizahirkan. Malahan jika kita berbual dengan mereka yang sudah sepuluh tahun pernah ke sana pasti perasaan ini akan dikisahkan. Kepada yang mampu pasti mereka akan pergi kembali.

Gambaran makam Rasullullah, Raudah dan kesibukan Masjid Nabawi masih terasa. Keenakkan dan kedinginan air zam-zam masih terasa. Biarpun suasana kesesakkan untuk masuk ke Raudah tapi keinginan masuk ke Taman Syurga tetap masih ada. Mengerjakan solat jenazah pada setiap waktu solat fardu samada di Madinah dan Kota Mekah masih terbayang. Kerana dengan adanya solat jenazah pada setiap lepas solat fardu pasti mengingati mati. Solat ini juga merupakan sedekah paling murah untuk kita lakukan.

Keadaan sesak di Masjidil Haram menjadi ingauan manis untuk dikenang. Fobia pada kesesakan tiada lagi. Malah dengan adanya kesesakan itu ia menjadikan saya seorang lebih bertimbang rasa. Membantu seorang suami menolak kerusi roda isterinya menjadi kenangan manis setelah suaminya mengucapkan "Syukran, syukran" kemudian dengan sambungan bahasa arab yang saya tidak faham.

Layanan orang-orang di Madinah dan Mekah masih dalam ingatan saya. Cuma kita berbeza bangsa dan budaya menyebabkan ada ketikanya terasa seperti kasar tingkah lakunya. Sebenarnya mereka melayan kita seumpama saudara. Lihat sahaja ketika mereka mengambil air zam-zam pasti akan dihulur secawan buat kita. Bab sedekah begitu mudah di sana. Walaupun hanya secawan air zam-zam.


Jumaat, 2 September 2016

Muzium Mekah

Sebelum menunaikan Umrah yang kelima, saya dan rombongan telah dibawa melawat Muzium Mekah yang terletak tidak jauh dari Masjidil Haram. Menarik muzium ini.

Muzium ini menempatkan banyak bahan yang sebelum ini berada di sekitar Kaabah. Misalnya gambar-gambar lama Masjidilharam. Telaga Zam-Zam yang dulunya digunakan secara tradisional. Pengunjung dapat melihat perkembangan Kaabah dari zaman dulu hingga kini.

Bagi saya, muzium ini harus dilawati kerana jika kita berada di kota suci Mekah pada masa ini keadaan amat selesa jika dibanding puluhan tahun dahulu. Ketika zaman keluarga kita sampai di kota Mekah dengan kapal laut waktu itu Mekah tidaklah seperti sekarang.

Saya dan keluarga sempat bergambar di Muzium Kaabah sebagai kenang-kenangan:





Khamis, 1 September 2016

Safa Marwah.

Bukit Shafa dan Marwah adalah dua buah bukit yang terletak dekat dengan Ka'bah (Baitullah). Bukit Shafa dan Marwah ini memiliki sejarah yang sangat penting dalam dunia Islam, khususnya dalam pelaksanaan ibadah haji dan umrah. Bukit Shafa dan Marwah yang berjarak sekitar 450 meter itu, menjadi salah satu dari rukun haji dan umrah, yakni melaksanakan Sa'i. (rujukan: Sila klik ).

Selama ini saya ingat Bukit Shafa dan Marwah ini jauh dari Masjidilharam. Tetapi ketika pergi kursus umrah, ustaz telah menunjukkan gambar yang mana menjelaskan bahawa tempat Sa'i ini taklah jauh mana. 

Oleh kerana saya telah terpisah dengan kumpulan umrah dari agensi saya maka saya berusaha sendiri mencari di mana Safa dan Marwah. Dalam hati saya berdoa agar ibadat menjadi mudah. Orang yang berada di kawasan Kaabah jujur. Mereka sedia membantu walaupun tidak bahasa Melayu dan Inggeris. Seorang lelaki berbangsa Pakistan menunjukkan Safa dan Marwah. Selepas meneguk air zam-zam saya membawa diri ke tempat sa'i.





Bagi saya jika melakukan umrah, sa'i merupakan tempat yang kita akan menerima dugaan. Mana tidaknya dengan usia 58 tahun, berjalan sejauh 450 meter pergi balik untuk tujuh kali bukan satu perkara yang mudah. Sekitar 3150 meter hampir 4 kilometer kita kena berjalan. Calang-calang orang pasti kecundang. Tetapi Allah Maha Penyayang. Saya dapat menyelesaikan Sa'i dengan selamat untuk umrah yang pertama ini. Sekitar jam 2.30 pagi telah tamat melakukan Sa'i yang membolehkan saya melakukan tahalul. Sekitar jam 3 pagi saya kembali di depan Kaabah untuk menunaikan solat Subuh.

Kepada jemaah yang tidak mampu tiada masalah kerana kemudahan bersa'i dengan kerusi roda telah tersedia. Bawalah wang untuk tujuan ini. Atau menyewa kerusi roda dengan ditolak oleh waris kita.

Tempat Sa'i ada tiga tingkat. Saya tidak sempat naik ketingkat tiga. Saya hanya menggunakan tingkat bawah dan dua sahaja.

Pengalaman dan ikhtibar yang boleh diambil ketika melakukan ialah peristiwa sayangnya seorang ibu kepada anak Siti Hajar dan Ismail. Sebelum ke Tanah Suci saya ada berpesan kepada isteri bahawa sila hayati pengorbanan itu. Bayangkan Siti Hajar yang mencari air untuk Ismail alam cuaca panas. Sedangkan kita menunaikan rukun umrah dalam bangunan yang berbumbung lagi sejuk.

Tidak dapat hendak dibayangkan pengorbanan ini. Pada masa yang sama Ismail sedang menangis kehausan ditengah panas. Kini sesiapa yang melakukan Sa'i pasti akan melalui detik-detik yang saya maksudkan itu. Berjalan dan berlari-lari anak seperti Siti Hajar. Lari ke Marwah ternampak air, sedangkan itu hanya Fatahmurgana. Lari ke Safa akan nampak air. Sedangkan itu juga Fatahmurgana. Akhirnya tumit Ismail yang sedang menghentak tanah memancutkan air yang kini terkenal dengan air zam-zam dan memberi faedah kepada jutaan umat Islam.

Ahad, 3 Julai 2016

Video pendek yang dirakam ketika di Madinah dan Mekah

Saya sempat merakam video pendek ketika berada di Kota Madinah dan Mekah


Informasi Penghijrahan Rasullullah


Informasi Perang Uhud


Padang Arafah


Umrah kali kedua 2018/1440

Alhamdulillah pada 5 November 2018 bersamaan 27 Safar 1440 saya, isteri dan puteri bongsu Nur Aqilah berangkat ke Tanah Suci untuk menunaik...